Thursday 11 April 2013


MASALAH DALAM MEMBACA
1)      Faktor psilologi
Tahap kecerdasan dan psikologi yang pelbagai dalam kalangan murid disebabkan oleh faktor genetik, kecacatan fizikal murid, persekitaran dan sebagainya yang berkecenderungan menimbulkan permasalahan untuk mempelajari dan mengingati sesuatu yang diajar oleh guru. Selain daripada itu, tahap kesihatan serta gangguan emosi sering menjadi punca masalah dalam proses pembelajaran. Murid yang mewarisi tahap kecerdasan yang rendah sering memperlihatkan gangguan emosi seperti bimbang, takut, marah dan berbagai-bagai perasaan lagi yang pastinya menjejaskan tumpuan dan perhatian terhadap proses pembacaan (Zulkifley Hamid, 2006).
Minat dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami dan memahami proses pembacaannya. Faktor tidak minat membaca merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan pelajar. Sikap kurang minat membaca pada dirinya adalah berpunca daripada kegagalannya untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik. Selain daripada itu juga, masalah kurang rangsangan daripada luar juga menyebabkan para pelajar bermasalah dalam proses membaca. Hal ini adalah kerana, kekurangan perhatian daripada guru akan menyebabkan pelajar tersebut akan keciciran dalam proses pembacaan.


2)      Mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan
Masalah dalaman yang dihadapi oleh pelajar dalam proses pembacaan juga berkait dengan masalah mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan. Hal ini adalah kerana peroses pembacaan memerlukan para pelajar untuk mengigati huruf dan bunyi bagi setiap huruf-huruf tersebut. Jika mereka bermasalah untuk mengigati setiap huruf tersebut maka proses pembacaan akan menghadapi masalah seperti membaca merangkak-rangkak dan tersangkut-sangkut. Bagi mengatasi masalah pelajra yang lemah dalam proses pembacaan ini satu proses pemulihan telah dijalankan. Para pelajar yang lemah dalam bacaan mereka akan diasingkan dengan pelajar yang lebih cepat dalam membaca.
3)      Faktor sosioekonomi
Status sosioekonomi kerap menjadi punca pemboleh ubah dalam kajian yang berkaitan pencapaian pelajar untuk membaca. Kanak-kanak dari rendah status sosioekonominya selalunya mempunyai pencapaian yang rendah berbanding dari kanak-kanak yang tinggi status sosioekonominya. Keturunan kaum dan perbezaan budaya juga boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam membaca.
Tindakan awal perlu diambil agar kanak-kanak ini tidak akan tercicir dalam sistem pendidikan kita yang berasaskan umur akal, kerana jika kanak-kanak ini tidak dibantu dari awal kemungkinan untuk mereka Berjaya pada tahap yang lebih tinggi adalah tipis.
4)      Faktor emosi
Pelajar yang gagal dalam membaca akan mempunyai rasa rendah diri, terasing, tidak bermotivasi, kecewa, malas, gagal dan sebagainya. Namun demikian, ada juga kanak-kanak yang mempunyai masalah emosi yang mengganggu pencapaian mereka dalam pembelajaran umumnya dan membaca khasnya. Kes penderaan kes kanak-kanak terbiar dan kes perpecahan keluarga boleh mengakibatkan gangguan emosi kepada kanak-kanak. Kanak-kanak yang tertekan juga boleh menyebabkan emosi mereka terganggu.

No comments:

Post a Comment