PENGENALAN
Membaca adalah suatu cara untuk mendapatkan informasi
dari sesuatu yang ditulis. Membaca melibatkan pengenalan simbol yang menyusun
sebuah bahasa. Menurut Mohd Zubil (1997), bagi mewujudkan budaya masyarakat
yang suka membaca, masyarakat itu sendiri perlu mempunyai nilai suka kepada
ilmu pengetahuan dalam menjalani kehidupan seharian. Ini adalah
kerana ilmu atau zaman ledakan maklumat, pemilihan bahan bacaan yang sesuai
dengan keperluan perkembangan ikhtisas diri amatlah penting. Oleh yang
demikian, membaca akan meningkatkan ilmu dan kualiti hidup seseorang manusia.
Dalam konteks golongan muda, Kelakuan, kebolehan dan keupayaan
membaca, dan minat golongan muda ini berbeza-beza mengikut peringkat umur.
Setiap peringkat mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza. Oleh
itu, persembahan dan penyampaian yang sesuai amat diperlukan dalam sesebuah
bahan bacaan .
PERINGKAT
USIA, TAHAP PERKEMBANGAN DAN PEMILIHAN BAHAN BACAAN
Molina S. Nijhar (1979) menegaskan
bahawa buku-buku yang bermutu ditulis dengan persembahan yang menarik,
fakta-fakta yang tepat dan sesuai, bahasa yang mudah dan dalam lingkungan
pemahaman peringkat umur kanak-kanak yang ditujukan. Bagi menentukan buku apa
yang akan mendapat sambutan kanak-kanak pada peringkat usia tertentu penggunaan
beberapa teori diperlukan untuk mengetahui apakah ciri-ciri perkembangan
kanak-kanak yang berlaku pada peringkat usia tersebut. Ini juga disarankan oleh
Tucker (1988) yang menyatakan bahawa beliau percaya pengetahuan mengenai
perkembangan kanak-kanak sudah mencukupi buat masa kini bagi membolehkan suatu
generalisasi dibuat mengenai apa yang dirasai dan yang difikirkan oleh
kanak-kanak pada peringkat usia tertentu dan setakat mana pemeringkatan ini
dapat mempengaruhi pemilihan buku kegemaran mereka. Antara teori-teori yang
menjadi rujukan di dalam penulisan ini ialah teori perkembangan kognitif dan
linguistik oleh Piaget dan teori sosio-emosi oleh Erickson keranateori-teori
ini telah menjadi asas dalam pendidikan awal kanak-kanak sejak dari dahulu
lagi.Walaupun teori ini memberi garis panduan berdasarkan peringkat umur, ianya
bukanlah sesuatuyang diikuti dengan sepenuhnya, akan tetapi cukup sebagai
panduan terhadap peringkat- peringkat perkembangan yang dilalui oleh
kanak-kanak.
1.
Umur 0-8 Tahun (Peringkat Prasekolah)
Kanak-kanak pada peringkat umur ini
belum lagi mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat atau
cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang kenyataan adalah sangat sederhana.
Buku-buku untuk peringkat umur ini harus mengandungi teks yang pendek, penuh
dengan aksi mudah yang menuju kepada kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus
mempunyai perkaitan dengan dunia sehariannya agar dapat membantu mereka
memahami dan menginterpretasikan dunia sekelilingnya. Pada tahap ini, buku-buku
yang menerapkan konsep amat sesuai untuk kanak-kanak mengenali dunia mereka
seperti buku mengenai nombor dan pengiraan, buku persamaan dan perbezaan, kamus
bergambar dan lain-lain. Selain daripada itu, buku-buku yang melibatkan
penyebutan nama sesuatu objek dan aksi sesuatu gambar akan dapat menggalakkan
perkembangan bahasa kanak-kanak yang sedang berkembang pesat pada ketika itu. .
Selain daripada itu kanak-kanak bersifat ingin tahu (curious) tentang dunianya,
. Oleh itu perkataan-perkataan dalam buku untuk kanak-kanak usia ini perlulah
menjurus kepada perkataan-perkataan yang digunakan oleh kanak-kanak dalam
kehidupan seharian dan juga mengenai diri dan dunia kanak-kanak tersebut. Pada
peringkat ini kanak-kanak akan menyukai buku-buku yang berkisar mengenai
dirinya dan pengalaman sehariannya yang berkaitan dengan kehidupan sebenarnya.
Oleh itu kanak-kanak akan menyukai buku yang mempunyai watak seperti dirinya
sendiri seperti watak ibu, ayah, adik dan abang. Selain itu, kanak-kanak pada
tahap ini sesuai didedahkan dengan buku-buku yang memaparkan gambar yang besar,
jelas dan realistik. Menurut Brown dan Tomlinson (1999) topik yang berkaitan
dengan rutin seharian dan objek yang biasa dengan kanak-kanak adalah bahan yang
baik untuk digabungkan dengan buku bergambar yang mempunyai plot yang mudah,
ilustrasi yang menarik, dan watak atau situasi yang melucukan.
2.
Umur 8-10 Ttahun
Pada peringkat ini, kanak-kanak
mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan mereka seronok dengannya.
Oleh itu, untuk membantu kanak-kanak memenuhi keperluannya ketika berimaginasi,
bahan bacaan yang mengandungi cerita dongeng dan cerita rakyat amat sesuai
digunakan untuk mereka. Pada peringkat ini kanak-kanak boleh membuat eksplorasi
secara berdikari dan memahami konsep abstrak dengan lebih baik. Setiap
kanak-kanak pada ketika ini adalah berbeza dari segi kebolehan, pencapaian dan
minat. Menurut Russels (1997), pada peringkat ini kanak-kanak berada
di peringkat operasi konkrit dalam teori perkembangan kognitif Piaget. Pada peringkat
ini kanak-kanak boleh membuat perkaitan logik dan boleh menyelesaikan masalah.
Kanak-kanak pada usia ini boleh membaca buku yang mengandungi beberapa bab
mudah jika mereka berhenti seketika, mereka mampu menyambung balik cerita
tersebut pada masa yang lain. Pada tahap ini, mereka juga boleh bekerja secara
berkumpulan dan boleh menyelesaikan masalah serta menggunakan taknologi baru.
Kanak-kanak mula bergaul dan memahami kanak-kanak lain dari
latar belakang yang berlainan. Mereka mula menggunakan kemahiran sosial
seperti berkongsi, bergilir, berkerjasama dan bertolak ansur. Menurut Russel
(1997) kanak-kanak pada usia ini berada dalam peringkat industri lawan rasa
rendah diri menurut teori psikososial oleh Erickson. Mereka berazam untuk
menunjukkan kejayaan mereka dalam sesuatu bidang dan juga gemar menunjukkan
kreaviti mereka. Begitu juga dengan buku yang boleh menunjukkan cara membuat
sesuatu seperti buku melukis, membuat origami, dan lain-lain projek
kecil.
3.
Umur 10-12 Tahun
Pada peringkat ini, mereka telah
mempunyai sikap kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk
menerima pengetahuan baharu. Perkembangan tatabahasanya juga
berkembang dengan cepat dan mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan
idea-idea yang abstrak. Mereka juga berusaha belajar untuk mendapatkan maklumat
daripada buku. Mereka sudah mampu mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam
buku mereka. Oleh itu, pada peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan
kerja tangan mampu menarik minat mereka. Di samping itu, kanak-kanak lelaki dan
perempuan sudah mula menunjukkan minat yang berbeza. Pada usia ini, kanak-kanak
perempuan lebih berminat kepada alam persekolahan, kisah binatang, fantasi, dan
sejarah manakala kanak-kanak lelaki pula lebih menggemari kisah pengembaraan,
cerita lucu, dan buku yang berkaitan dengan subjek hobi, saintifik dan
teknikal. Walaupun pembahagian peringkat kanak-kanak mengikut umur tidak begitu
jelas dan menimbulkan perbezaan, orang-orang dewasa yang terlibat dengan
kanak-kanak perlu tahu serba sedikit tentangnya. Ini kerana setiap peringkat
umur, kanak-kanak memerlukan bahan penerbitan yang berbeza dari segi
persembahan dan bentuk bahannya.
No comments:
Post a Comment