Tuesday 16 April 2013


DEFINISI MEMBACA
Terdapat pelbagai definisi tentang membaca. Atan Long (1978) menyatakan bahawa proses membaca ialah proses melibatkan kebolehan mengenal lambang-lambang dan menterjemah lambang-lambang itu semula kepada bunyi suara dan memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh tulisan itu.
Rahimah Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985: 137) mendefinisikan membaca sebagai menggabungkan beberapa kemahiran iaitu kemahiran penglihatan yang diskrimitif (untuk mengenal dan membezakan bentuk-bentuk huruf), kemahiran mengingat, mendengar dan membezakan bunyi-bunyi dengan tepat dan jelas, menyebut bunyi-bunyi yang dilambangkan oleh huruf-huruf, menggabungkan penyebutan bunyi-bunyi itu untuk membentuk perkataan dan kebolehan pula memindahkan lambang-lambang yang dibacanya itu kepada sistem saraf pusat untuk menterjemah dan memahami apa yang dibacanya.
Bagi Zulkifley Hamid (1994: 57), kemahiran membaca tidak akan dimiliki oleh seseorang pelajar melainkan setelah beliau mampu melakukan proses-proses mengenali, dan membezakan fonem-fonem yang terdapat dalam sesuatu bahasa, menggabungkan symbol-simbol fonem untuk membentuk perkataan dan memindahkan lambang-lambang yang dibacanya atu kepada sistem saraf untuk diterjemahkan (kepada bunyi-bunyi bahasa yang diwakili oleh symbol-simbol fonem) dan difahami apa yang dibaca.
Pumfrey (1977) berpendapat membaca bukanlah hanya bersifat mekanikal iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan tentang apa yang dibaca, tetapi membaca mempunyai fungsi yang lebih jauh daripada itu. Kemahiran membaca merupakan satu proses yang memerlukan seseorang itu menterjemahkan lambang-lambang tulisan kepada lambang-lambang bunyi serta memahami makna dan buah fikiran yang hendak disampaikan oleh sesorang penulis itu.
Seseorang murid yang boleh memindahkan tulisan kepada suara, walau bagaimana lancar sekalipun, jika tidak memahami apa yang disuarakan maka murid-murid itu tidaklah boleh dianggap sebagai pandai membaca (Kamarudin Haji Husin, 1988).
oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan secara ringkasnya, seseorang yang boleh membaca tetapi tidak memahami isi bacaan itu serta tidak mampu menterjemahkannya secara tepat dan betul sama ada secara lisan mahupun bertulis bolehlah dikategorikan sebagai tidak pandai membaca. Perkara ini amat penting kepada murid-murid kerana ini dapat membantu mereka dalam pelajaran terutamanya apabila mereka menghadapi peperiksaan. 

No comments:

Post a Comment