Wednesday 20 March 2013



 PEMILIHAN BAHAN BACAAN

PENGENALAN

Membaca adalah suatu cara untuk mendapatkan informasi dari sesuatu yang ditulis. Membaca melibatkan pengenalan simbol yang menyusun sebuah bahasa. Menurut Mohd Zubil (1997), bagi mewujudkan budaya masyarakat yang suka membaca, masyarakat itu sendiri perlu mempunyai nilai suka kepada ilmu pengetahuan  dalam menjalani kehidupan seharian. Ini adalah kerana ilmu atau zaman ledakan maklumat, pemilihan bahan bacaan yang sesuai dengan keperluan perkembangan ikhtisas diri amatlah penting. Oleh yang demikian, membaca akan meningkatkan ilmu dan kualiti hidup seseorang manusia. Dalam konteks golongan muda,  Kelakuan, kebolehan dan keupayaan membaca, dan minat golongan muda ini berbeza-beza mengikut peringkat umur. Setiap peringkat mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza.  Oleh itu, persembahan dan penyampaian yang sesuai amat diperlukan dalam sesebuah bahan bacaan .

PERINGKAT USIA, TAHAP PERKEMBANGAN DAN PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Molina S. Nijhar (1979) menegaskan bahawa buku-buku yang bermutu ditulis dengan persembahan yang menarik, fakta-fakta yang tepat dan sesuai, bahasa yang mudah dan dalam lingkungan pemahaman peringkat umur kanak-kanak yang ditujukan. Bagi menentukan buku apa yang akan mendapat sambutan kanak-kanak pada peringkat usia tertentu penggunaan beberapa teori diperlukan untuk mengetahui apakah ciri-ciri perkembangan kanak-kanak yang berlaku pada peringkat usia tersebut. Ini juga disarankan oleh Tucker (1988) yang menyatakan bahawa beliau percaya pengetahuan mengenai perkembangan kanak-kanak sudah mencukupi buat masa kini bagi membolehkan suatu generalisasi dibuat mengenai apa yang dirasai dan yang difikirkan oleh kanak-kanak pada peringkat usia tertentu dan setakat mana pemeringkatan ini dapat mempengaruhi pemilihan buku kegemaran mereka. Antara teori-teori yang menjadi rujukan di dalam penulisan ini ialah teori perkembangan kognitif dan linguistik oleh Piaget dan teori sosio-emosi oleh Erickson keranateori-teori ini telah menjadi asas dalam pendidikan awal kanak-kanak sejak dari dahulu lagi.Walaupun teori ini memberi garis panduan berdasarkan peringkat umur, ianya bukanlah sesuatuyang diikuti dengan sepenuhnya, akan tetapi cukup sebagai panduan terhadap peringkat- peringkat perkembangan yang dilalui oleh kanak-kanak.

1. Umur 0-8 Tahun (Peringkat Prasekolah)

Kanak-kanak pada peringkat umur ini belum lagi mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat atau cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang kenyataan adalah sangat sederhana. Buku-buku untuk peringkat umur ini harus mengandungi teks yang pendek, penuh dengan aksi mudah yang menuju kepada kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan dengan dunia sehariannya agar dapat membantu mereka memahami dan menginterpretasikan dunia sekelilingnya. Pada tahap ini, buku-buku yang menerapkan konsep amat sesuai untuk kanak-kanak mengenali dunia mereka seperti buku mengenai nombor dan pengiraan, buku persamaan dan perbezaan, kamus bergambar dan lain-lain. Selain daripada itu, buku-buku yang melibatkan penyebutan nama sesuatu objek dan aksi sesuatu gambar akan dapat menggalakkan perkembangan bahasa kanak-kanak yang sedang berkembang pesat pada ketika itu. . Selain daripada itu kanak-kanak bersifat ingin tahu (curious) tentang dunianya, . Oleh itu perkataan-perkataan dalam buku untuk kanak-kanak usia ini perlulah menjurus kepada perkataan-perkataan yang digunakan oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian dan juga mengenai diri dan dunia kanak-kanak tersebut. Pada peringkat ini kanak-kanak akan menyukai buku-buku yang berkisar mengenai dirinya dan pengalaman sehariannya yang berkaitan dengan kehidupan sebenarnya. Oleh itu kanak-kanak akan menyukai buku yang mempunyai watak seperti dirinya sendiri seperti watak ibu, ayah, adik dan abang. Selain itu, kanak-kanak pada tahap ini sesuai didedahkan dengan buku-buku yang memaparkan gambar yang besar, jelas dan realistik. Menurut Brown dan Tomlinson (1999) topik yang berkaitan dengan rutin seharian dan objek yang biasa dengan kanak-kanak adalah bahan yang baik untuk digabungkan dengan buku bergambar yang mempunyai plot yang mudah, ilustrasi yang menarik, dan watak atau situasi yang melucukan.
2. Umur 8-10 Ttahun

Pada peringkat ini, kanak-kanak mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan mereka seronok dengannya. Oleh itu, untuk membantu kanak-kanak memenuhi keperluannya ketika berimaginasi, bahan bacaan yang mengandungi cerita dongeng dan cerita rakyat amat sesuai digunakan untuk mereka. Pada peringkat ini kanak-kanak boleh membuat eksplorasi secara berdikari dan memahami konsep abstrak dengan lebih baik. Setiap kanak-kanak pada ketika ini adalah berbeza dari segi kebolehan, pencapaian dan minat. Menurut Russels (1997), pada peringkat ini kanak-kanak  berada di peringkat operasi konkrit dalam teori perkembangan kognitif Piaget. Pada peringkat ini kanak-kanak boleh membuat perkaitan logik dan boleh menyelesaikan masalah. Kanak-kanak pada usia ini boleh membaca buku yang mengandungi beberapa bab mudah jika mereka berhenti seketika, mereka mampu menyambung balik cerita tersebut pada masa yang lain. Pada tahap ini, mereka juga boleh bekerja secara berkumpulan dan boleh menyelesaikan masalah serta menggunakan taknologi baru. Kanak-kanak mula bergaul dan memahami kanak-kanak lain dari latar  belakang yang berlainan. Mereka mula menggunakan kemahiran sosial seperti berkongsi, bergilir, berkerjasama dan bertolak ansur. Menurut Russel (1997) kanak-kanak pada usia ini berada dalam peringkat industri lawan rasa rendah diri menurut teori psikososial oleh Erickson. Mereka berazam untuk menunjukkan kejayaan mereka dalam sesuatu bidang dan juga gemar menunjukkan kreaviti mereka. Begitu juga dengan buku yang boleh menunjukkan cara membuat sesuatu seperti buku melukis,  membuat origami, dan lain-lain projek kecil.

3. Umur 10-12 Tahun

Pada peringkat ini, mereka telah mempunyai sikap kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk menerima pengetahuan baharu.  Perkembangan tatabahasanya juga berkembang dengan cepat dan mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan idea-idea yang abstrak. Mereka juga berusaha belajar untuk mendapatkan maklumat daripada buku. Mereka sudah mampu mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku mereka. Oleh itu, pada peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu menarik minat mereka. Di samping itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan sudah mula menunjukkan minat yang berbeza. Pada usia ini, kanak-kanak perempuan lebih berminat kepada alam persekolahan, kisah binatang, fantasi, dan sejarah manakala kanak-kanak lelaki pula lebih menggemari kisah pengembaraan, cerita lucu, dan buku yang berkaitan dengan subjek hobi, saintifik dan teknikal. Walaupun pembahagian peringkat kanak-kanak mengikut umur tidak begitu jelas dan menimbulkan perbezaan, orang-orang dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak perlu tahu serba sedikit tentangnya. Ini kerana setiap peringkat umur, kanak-kanak memerlukan bahan penerbitan yang berbeza dari segi persembahan dan bentuk bahannya.